HOROSKOP



Pagi tadi aku menerima email ini dan aku agak terkejut dengan yang dimaksudkan oleh email tersebut. Email tersebut mengandungi isu yang telah dibincangkan melalui sebuah rancangan di TV9. Lebih mengejutkan aku lagi apabila salah sorang panel tersebut memaklumkan bahawa membaca horoskop walaupun suka-suka maka solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Ya Allah Ya Tuhanku.. Aku
selalu jugak membaca ruangan tersebut terutama seawal pagi sebelum memulakan
kerja. Berikut aku masukkan kandungan email tersebut untuk rujukan dan renungan
kita bersama.

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di
internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau
sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu
berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan
bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap
tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu,
maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad. Bagaimanapun katanya, jika
membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik,
hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada
orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa
dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara
main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya.
Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia
membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak
diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan
termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah
Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan
malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12. Program yang mengulas mengenai ayat 105,
surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai
tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan
pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca
ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu
akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang
dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui
khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai
nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup
mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan
kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS
horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan
untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita
hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja
dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat
sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu
benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka
jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang
tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak
percaya ketentuan Allah serta ciptaannya. Beliau berkata, Allah sudah memberi
amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan
mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.
Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa
setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan
daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang
ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa
izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai
yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh
mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri,
permusuhan sesama jiran atau sahabat karib. Contohnya, isteri yang diberitahu
mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya
menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar
sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang
taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga
golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang
hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit. Malah,
Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa
depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya
dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal
dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan
Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq. Ilmu itu berkembang sejak Babylon
kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu
semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12
yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari
ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah
beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan
bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak
kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah
bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau
lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara
lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan
membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh
memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan. ..


Responses

0 Respones to "HOROSKOP"

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by HackTutors