KANGAR - Gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan kerja yang diberikan, dua pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa bertindak di luar batasan membelasah seorang guru wanita.
Pelajar tingkatan dua berkenaan dipercayai telah menendang dan memukul guru Sivik dan Geografi, Azhana Ibrahim, 27, pada pukul 10 pagi semalam.
Menurut Azhana, dalam pergelutan itu, dia cuba mempertahankan diri selepas dua pelajar itu menyerangnya.
Ceritanya lagi, kejadian itu berlaku selepas pelajar itu menulis perkataan kesat dalam buku tugasan yang diserahkan kepada guru tersebut.
"Pelajar itu gagal menghantar tugasan yang diberikan kepada mereka sejak beberapa minggu lalu dan hanya menghantar kepada saya hari ini (semalam) selepas diminta berulang kali.
"Bagaimanapun saya terkejut apabila terdapat perkataan kesat pada buku tugasan tersebut dan pelajar itu bercakap kasar serta kurang sopan sebelum menyerang saya," dakwa guru itu di sini semalam.
Guru yang berasal dari Perlis itu berkata, beliau kemudian melaporkan kejadian kepada Penolong Kanan Sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kangar.
Jelasnya, beliau membuat laporan polis kerana bimbang diancam kedua-dua pelajar terbabit.
"Selama lima tahun berkhidmat sebagai guru, ini adalah kali pertama saya diserang,'' ujarnya.
Labels: Berita Gempar
Responses
0 Respones to "Pelajar wanita belasah guru"
Catat Ulasan